Thursday, 13 October 2011

kosong punyai nilai



Hari ini,
Ku bangun,
Dari mati yang sementara,
Rasa tidak bermaya,
Ku lalui kehidupan ini,
Mahu tidak mahu,
Masa terus berlalu pantas,
Seakan tidak merasai,
Apa yang aku rasai,
Kini.

Ku cuba,
Lagak seperti biasa,
Cuba senyum dan menyapa,
Namun ku tahu,
Ianya tidak tulus,
Tawar dan kurang ria,
Kerana ia, buatan cuma.

Bumi terus berputar sebagaimana lazim,
Manusia tetap bergerak menuju matlamat masing-masing,
Semuanya sama,
Tiada yang lain,
Namun tidak bagiku,
Hari ini dan semalam,
Jauh terasa perbezaannya,
Apa yang berlaku di sekelilingku,
Seakan tiada makna,
Hakikatku di sini,
Namun diriku bukan di sini,
Seakan jiwaku terbang meninggalkan anggota,
Berterusan hidup tanpa nyawa,
Hatiku kosong. 

Mengapa aku perlu terus bermuram durja,
Mengapa aku perlu terus hidup tanpa makna,
Mengapa aku perlu terus diseksa sebegini rupa?

Namun bagaimana,
Bukan aku yang memilihnya,
Apa erti ini semua,
Adakah kekosongan ini punyai makna?


Ketahuilah, setiap langkah dan nafasmu hanya untuk Allah..

Jika langkah-langkahmu diambil bukan kerana-Nya..
Untuk apa engkau terus melangkah?

Jika nafas-nafasmu dihirup bukan lagi untuk-Nya..
Untuk apa engkau terus bernafas?

Demi keseronokan yang sementara?

Demi mencapai kejayaan yang tak kekal sifatnya?

Demi menikmati dunia yang tak pernah cukupnya?


.......

Dupp! 
Seakan segelombang badai gergasi menampar keras pipiku,
Membuatku tersedar dari lena.

Ya, 
Kosong ini punyai nilai,
Ia tanda kasihNya,
Sang pencipta kepada hamba,
Agar aku tidak terlalu gembira 'tanpa'Nya,
Jalanku telah tersasar,
Kian jauh,
Nikmat dunia yang sementara,
Dia rentap dariku,
Agar aku kembali kepadaNya,
Merintih dan berharap seperti dahulu kala,
Titisan-titisan air mataku di kala sepinya malam,
Sujud penuh khusyu', penuh cinta kepadaNya.

Segala puji hanya bagimu ya Allah,
Atas kekosongan yang penuh makna.

Akan kukikis cinta-cinta dunia,
Dari dinding hatiku, 
Dan akan ku isinya penuh,
Dengan cinta,
Syukur,
Penghambaan,
Pengharapan,

Hanya buatMu semata. . .

No comments:

Post a Comment